Friday 15 July 2016

3rd BATCH OF NIHONGGO PARTNERS - SCHOOL VISITS

3rd Batch of Nihonggo Partners – School Visits

Pada 13 Julai 2016, SMK Pendeta Za’ba telah menerima satu lawatan daripada pihak Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL). Lawatan tersebut telah diadakan kerana SMK Pendeta Za’ba telah dicalonkan untuk menerima seorang sukarelawan daripada negara Jepun pada tahun 2017. 3 orang wakil daripada JFKL telah hadir iaitu Cik Taniguchi Misako (Koordinator Program Nihonggo Partners), Cik Siti Hajar (Penolong Koordinator Program Nihonggo Partners) dan juga Cik Serizawa Yumi (Pensyarah Bahasa Jepun JFKL). 
Tujuan lawatan diadakan ialah untuk meninjau persekitaran sekolah serta kemudahan yang boleh digunakan untuk oleh sukarelawan Bahasa Jepun tersebut. Di samping itu, sesi perbincangan juga telah diadakan bersama pentadbir sekolah mengenai tempat tinggal serta kemudahan pengangkutan untuk kegunaan sukarelawan yang berkenaan.

Program Nihonggo Partners sebenarnya telah dilancarkan pada 2015 (kumpulan pertama pada 2015 dan kumpulan kedua pada 2016). Program ini disertai oleh sukarelawan Jepun yang dihantar ke sekolah-sekolah di negara-negara ASEAN untuk menyokong perkembangan Bahasa Jepun di negara-negara yang terlibat. Program ini bukan sahaja untuk menyokong perkembangan Bahasa Jepun, malah budayanya juga. Setakat ini, seramai 28 sekolah telah menyertai program ini dengan bilangan NP seramai 28 orang.
Semoga program ini dapat memberi manfaat kepada warga SMKPZ pada tahun 2017.

Laporan oleh: Puan Asmahani bt Ahmad@Amros
Guru Subjek Bahasa Jepun SMKPZ


Sesi bergambar bersama Pengetua Cemerlang SMK Pendeta Za'ba



No comments:

Post a Comment

SILA TINGGALKAN KOMEN ANDA